ASDAF YANG DIKASIHI DAN DICINTAI

ASDAF ( ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 ) adalah sebuah asrama yang menempatkan anak-anak Orang Asli peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah mereka. Mereka terdiri daripada anak-anak yatim, anak-anak saudara baru (mualaf) dan fakir miskin. Mereka diambil dari kampung-kampung di kawasan pedalaman semenanjung untuk dididik, diberi pendidikan akademik dan agama.


Latar Belakang ASDAF

ASDAF telah ditubuhkan pada 19 Ogos 1995 di mana pengambilan pertama adalah 6 orang pelajar terdiri 4 lelaki dan 2 perempuan dari suku Semelai di Negeri Sembilan. Sekarang, bangunan ASDAF telah didiami lebih kurang 60 orang pelajar dari suku Semai, Bateq, Mahmeri, Semelai, Temuan dan Temiar. Kebanyakan daripada mereka adalah anak yatim dan datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan.

Objektif :

Menyediakan pendidikan akademik yang rasmi kepada masyarakat Asli dengan menghantar mereka ke sekolah menengah dan rendah sehingga ke pusat pengajian tinggi.
Membantu kerajaan dalam memperbaiki kehidupan masyarakat Asli.
PERKIM menjalankan aktiviti dakwah dan kebajikan secara berterusan.

Pentadbiran dan kewangan

ASDAF ditadbir oleh ahli jawatankuasa sendiri di mana keahliannya terdiri dari orang perseorangan yang bergiat dalam pelbagai bidang dan profesional. Keahlian yang terbaru adalah seramai 16 orang. Ahli jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk mencari sumbangan melalui derma untuk menampung pengurusan di ASDAF. Lebih daripada 80% daripada kewangan di asrama ini diperolehi melalui derma. Di samping itu juga, 2 agensi kerajaan turut memberi bantuan bagi meningkatkan lagi taraf di asrama ini.

Pencapaian

1. Kemasukan 2 orang pelajar ke IPTA melalui keputusan SPM.
2. Keputusan SPM pelajar-pelajar di sini amat memuaskan. Setiap tahun, lebih kurang 95% pelajarnya lulus dalam peperiksaan tersebut.
3. Bagi mereka yang kurang berjaya, ASDAF turut membantu mereka dalam mencari peluang pekerjaan. Ini juga dapat membantu keluarga mereka.

Kerjasama daripada IPPKKL, ASKEN dan Muslim Aid Asia

ASDAF mendapat kerjasama yang baik dan kuat daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sejak dari tahun 1998 lagi dan seterusnya ASDAF diambil sebagai hostel angkat bagi menjaga keselamatan dan pembangunan.

Di samping itu juga, Syarikat Perniagaan dan Perkhidmatan ASKEN juga turut menolong ASDAF dengan mengambilnya sebagai asrama angkat menerusi aktiviti-aktiviti syarikat ini.

Muslim Aid Asia kini telah memilih ASDAF sebagai asrama angkat. Pelbagai aktiviti telah dijalankan di ASDAF melalui Muslim Aid Asia seperti projek My Kitchen Garden dan program motivasi Glitters of Tomorrow.

Rancangan Jangka Panjang

Dalam merealisasikan visi ASDAF sebagai pusat pendidikan dan pembangunan bagi masyarakat Asli, pelbagai kutipan derma dan sumbangan dijalankan bagi membina bangunan asrama, ruang tamu, bilik belajar, bilik komputer dan perpustakaan.